Rahmat Allah S.W.T. yang sifat-Nya sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNYA amat jelas sekali apabila diutuskan para nabi dan rasul kepada seluruh umat manusia. Para nabi dan rasul ini bertanggungjawab untuk memimpin manusia ke jalan yang benar dan diredhai Allah demi mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, sepertimana yang terungkap di dalam kitab suci al-Quran sejak berabad yang lalu.
Nabi Muhammad S.A.W. telah diutus untuk membawa syariat Allah yang terakhir sekali iaitu agama Islam untuk seluruh umat manusia dan ianya kekal sehingga akhir zaman. Baginda merupakan seorang insan yang terulung dalam konteks kehidupan, dalam masa yang sama baginda juga merupakan seorang murabbi teragung yang mempunyai akhlak serta nilai yang sangat mulia yang didasari oleh al-Quran.
Akhlak mulia merupakan teras dan menjadi asas utama kepada pembinaan jati diri serta pembentukan masyarakat yang ideal. Akhlak berperanan untuk menjadi penentu kepada pembangunan sesebuah bangsa. Kita boleh melihat dan memperakui betapa tinggi dan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam sehingga ianya menjadi misi utama diutuskan Nabi Muhammad S.A.W. ke dunia. Baginda pernah menegaskan peri pentingnya akhlak dalam kehidupan melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud:
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Begitu juga dengan perakuan dan penjelasan yang diungkapkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah mengenai akhlak Nabi Muhammad S.A.W. dengan menyatakan ‘akhlak Rasulullah adalah al-Quran’. Ini menunjukkan bahawa akhlak baginda adalah cukup sempurna dan ianya dapat dilihat semenjak baginda masih kecil hinggalah ke akhir hayatnya kerana baginda memperhiasi diri dan peribadinya dengan al-Quran.
Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. membawa satu bentuk cahaya baru bagi umat manusia dan dunia keseluruhannya. Baginda membawa seruan suci dan memimpin umat manusia ke arah kehidupan yang bermoral, berintegriti dan bersistematik dalam semua urusan sama ada melibatkan kepentingan dan kebahagiaan kehidupan di dunia mahupun di akhirat.
Riwayat hidup baginda sewaktu kecil amat menarik perhatian. Sikap dan budi pekertinya sangat bebeza dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Baginda tidak pernah meminta mahupun mengambil hak orang lain. Tidak bersikap tamak atau gelojoh. Baginda juga tidak pernah meminta sesuatu melebihi dari apa yang diberikan kepadanya. Baginda juga dilihat tidak gemar dengan sikap dan kelakuan kanak-kanak lain yang rakus dan berebut-rebut makanan di hadapan hidangan.
Sifat dan sikap terpuji baginda ini sangat menarik perhatian bapa saudaranya, Abu Talib. Sebab itulah perasaan kasih sayang kepada anak saudaranya itu semakin mendalam. Ummu Aiman, pengasuh baginda pernah berkata, 'dari sejak kecil hingga dewasa, tidak pernah saya melihat dia (Muhammad) mengadu kelaparan atau kehausan. Dia selalu minum air zam zam. Apabila saya mengajaknya makan tengahari, maka dia mengatakan bahawa dia sudah kenyang'. Dengan sifat-sifat yang mulia, budi pekerti yang luhur serta mudah pula merasai penderitaan orang lain, baginda menjadi kesayangan di kalangan kaum keluarga dan orang yang rapat dengannya.
Baginda membesar dan menempuh hidup dalam suasana kehidupan berpaksikan kesesatan masyarakat jahiliyyah dan kaum keluarga yang menyembah patung-patung berhala. Namun demikian, baginda tetap terpelihara dari sebarang bentuk kemaksiatan dan membesar dalam keadaan kesempurnaan akal dan jasad, budi dan adab sopan, sehingga terkenal di kalangan penduduk Mekah. Baginda dibesarkan dalam suasana kehidupan sebagai manusia yang sempurna, walhal kaumnya masih mempunyai dan mengamalkan peradaban yang rendah.
Mengikut kebiasaan yang berlaku pada ketika itu, seorang anak yatim piatu yang mempunyai nasib yang sama seperti baginda, watak dan sikapnya akan dibentuk oleh pengaruh persekitaran masyarakat yang dilihatnya sejak kecil. Tetapi ia tidak berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semenjak kecil lagi baginda telah merasa benci kepada fahaman dan perlakuan masyarakat jahiliyyah yang menyembah berhala. Aqidah kepercayaan baginda adalah suci dan terpelihara sepertimana tergambar serta terzahir dalam wataknya yang berbudi pekerti yang tinggi dan mulia.
Menjelang usia dewasa, baginda tidak pernah melakukan sebarang bentuk perlakuan keji dan maksiat seperti tidak meminum arak, tidak menikmati hiburan yang melampaui batas serta tidak hidup berpoya-poya seperti tabiat kebiasaan yang selalu diamalkan oleh para pemuda Arab Mekah ketika itu. Baginda tidak pernah tunduk menyembah berhala, walaupun perbuatan tersebut menjadi amalan kebanyakan bangsa Arab jahiliyyah.
Baginda juga dilihat tidak pernah menggunakan bahasa yang kotor dan kasar, serta tidak pernah berbohong atau berdusta. Baginda sangat menghormati bukan sahaja kepada orang-orang tua, malahan orang-orang muda dan amat mengasihi kanak-kanak, anak yatim dan wanita yang kehilangan suami. Baginda telah memperlihatkan kualiti seorang manusia yang unggul apabila sentiasa berusaha untuk membantu orang lain walaupun baginda sendiri dalam keadaan serba kekurangan.
Nabi Muhammad S.A.W. amat kasih dan sayang kepada sahabat-sahabatnya dan satu sikap yang amat terpuji adalah baginda sentiasa memaafkan kesalahan orang lain terutama musuh-musuhnya. Baginda sentiasa melemparkan riak wajah yang manis, yang boleh menyenangkan hati semua orang. la tidak suka memperkatakan tentang keburukan dan keaiban orang lain dan sentiasa bersangka baik terhadap semua orang. Baginda lebih suka menjadi orang yang pertama memberi salam dan mendoakan kesejahteraan kepada sahabat-sahabatnya. Kadangkala baginda memanggil mereka dengan nama-nama yang menyenangkan untuk menunjukkan betapa kasih dan mesranya baginda kepada mereka. Sekiranya seseorang sahabat pernah membantunya, baginda amat menghargai pertolongan tersebut buat selama-Iamanya.
Baginda juga apabila berkata-kata, ia bersungguh. Walaupun demikian, baginda juga mempunyai perwatakan yang suka bersenda-gurau dan tertawa, tetapi tidak menyimpang dari dasar kebenaran dan tidak berlebih-Iebihan. Apabila marah, tidak tergambar kemarahannya, hanya kelihatan antara dua keningnya sedikit peluh. Ini kerana, baginda amat penyabar dan sentiasa menahan rasa marah dan tidak mahu melemparkan kemarahannya kepada orang lain.
Semua ini berlaku kerana baginda mempunyai sifat berlapang dada dan menghargai orang lain. Baginda juga mempunyai sikap yang tegas dan tidak pernah berasa ragu. Sebelum mengambil sesuatu keputusan, baginda akan berfikir dan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Sifat sedemikian sudah sebati dalam diri baginda dan mendatangkan keselesaan kepada semua orang.
Lain-lain sifat keistimewaan yang ada dalam diri baginda ialah baginda seorang yang cerdik, bijaksana dan cepat berfikir serta bertindak. Sebelum diutuskan menjadi nabi dan rasul lagi, baginda sentiasa diminta untuk memberikan buah fikiran, pendapat dan pandangan daripada pelbagai peringkat masyarakat Arab ketika itu bagi menyelesaikan sebarang kesulitan, terutamanya dalam penyelesaian masalah berbangkit. Segala pandangan dan pendapat yang diberikan secara umumnya selalu diterima dan dihormati.
Jiwa dan sanubari seorang insan terulung yang bernama Muhammad bin Abdullah ini adalah jiwa yang suci, yang ingin melihat, merenung dan berfikir. Jiwanya yang suci tergambar melalui sifat dan sikapnya yang amat termasyhur semenjak dari kecil lagi iaitu sifat amanah. Sifat amanah yang menghiasai peribadinya sentiasa menjadi amalan dalam kehidupan seharian sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sehingga penduduk Mekah menggelar baginda dengan gelaran 'al-amin' yang bermaksud boleh dipercayai. Dalam pada itu, baginda juga digelar dengan gelaran 'as-sadiq' membawa maksud benar. Sebab itulah sebilangan besar masyarakat Mekah menamai baginda dengan gelaran 'as-sadiqul amin' - yang berkata benar lagi dipercayai.
Semua sifat-sifat mahmudah yang utama, terdapat dalam diri dan sentiasa menghiasi keperibadian baginda yang unggul. la memancarkan suatu cahaya yang amat indah serta sangat menarik perhatian umum. Inilah sebaik-baik ikutan. Oleh sebab itu, setiap individu yang pernah menemui baginda, sama ada semasa mudanya, sebelum menjadi nabi dan rasul mahupun sesudah diutus menjadi nabi dan rasul akan menghormati baginda. Walaupun terdapat sebilangan yang memusuhinya setelah baginda diutus menjadi nabi dan rasul, tetapi permusuhan yang wujud adalah semata-mata disebabkan keengganan mereka mengikut perintah Allah S.W.T., bukan kerana permusuhan dan kebencian terhadap diri dan peribadi baginda.
Sumber : Website Jabatan Mufti Selangor
No comments:
Post a Comment